Monday, May 3, 2010

Seputar Kematian

Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain .( Surah Taahaa ayat 55.)
Kematian adalah satu kemestian untuk tiap-tiap yang bernyawa. Itu sunatullah. Bagi si mati, perkara itu tidak dapat dielakkan lagi samada dia mahu ataupun tidak. Bagi orang yang ditinggalkan, kematian adalah satu ‘musibah’ yang menjadi sebagai ujian dimana isteri kehilangan suami ( atau sebaliknya ), anak kehilangan ibu bapa, ibu bapa kehilangan anak dan seterusnya. Jumaat lepas telah sampai janji untuk bapa mertua kembali ke rahmatullah pada jam 9.45 malam. Saya ingin kongsikan beberapa perkara seputar kematian moga menjadi peringatan kepada diri sendiri dan rakan2 moga bermanfaat kerana kematian dan urusan-urusannya juga tidak terlepas dari ketetapan syara’. Harus diingatkan kebanyakan dalil dan hujah yang saya ambil majoritinya dari mazhab Syafie jika ada percanggahan dengan rakan2 yang bertaklid dengan mazhab-mazhab yang lain saya harap rakan2 dapat berlapang dada dan dapat menerima konsep khilafiyah dalam masalah furu’ ( cabang ).

1. Talqin saat berlaku kematian.
Abu Sa’id Al Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya : Ajarlah orang yang hendak mati diantara kamu akan “Laa ilaa haillallah”.

Tujuannya untuk mengingatkan atau menolong orang yang hendak mati supaya mengucapkan kalimah tauhid itu, kerana orang yang mati dalam mengucapkan kalimah tauhid dijamin masuk syurga.
Berdasarkan Hadith tersebut maka orang yang sedang mengadap maut disunatkan talqin. Golongan jumhur ulama berpendapat bahawa talqin itu memadai dengan ucapan Laa ilaa haillallah sahaja berdasarkan hadith tersebut, tetapi segolongan ulama menghendaki supaya talqin itu meliputi dua kalimah syahadah.

2. Cuba rapatkan kedua-dua matanya dan mulutnya. Sekiranya ada, tanggalkan segala plaster yang ada melekat pada kulit jenazah kerana dikhuatiri sukar untuk ditanggalkan nanti ketika memandikan jenazah.
3. Maklumkan kepada pihak khairat kematian di kampung sekiranya allahyarham merupakan ahli khairat kematian. Dalam konteks kita sebagai anak, saya rasa amat perlu untuk kita selidiki samada ibu-bapa kita merupakan ahli khairat kematian ataupun tidak. Saya syorkan juga supaya kita ( terutamanya yang telah berkahwin ) untuk menjadi ahli khairat kematian ditempat kita bermastautin.
4. Sekiranya kita mendapat khabar berlaku kematian pada jiran kita, segeralah ke rumah jiran kita itu untuk menyampaikan takziah dan hulurkanlah bantuan sekadar termampu. Seperti yang berlaku semasa kematian bapa mertua saya tempoh hari, ketika saya mula-mula sampai ke rumah dari hospital, kelihatan beberapa jiran terdekat yang sudah maklum telah sedia berada dirumah. Ada satu insiden menarik yang saya mahu ceritakan, salah satu lampu di ruang tamu tempat kami meletakkan jenazah ayah tidaka menyala. Saya ketika itu sedang menanggalkan plaster yang melekat pada tangan allahyarham. Saya melihat seorang lelaki tanpa disuruh mengambil tangga dan membaiki lampu tersebut hingga menyala. Setelah selesai, ketika berbincang untuk menguruskan jenazah esok hari, saya dapati rupa-rupanya lelaki yang membaiki lampu tadi adalah Tuan Imam kampung itu. Mungkin ada orang beranggapan perkara itu kecil, akan tetapi saya berasa perbuatan beliau amat mulia.

5.Cara mengucapkan Takziah.
Sunat mengucapkan takziah kepada orang Islam yang ditimpa musibah kematian keluarganya dengan ucapan :
Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah Ta‘ala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita (dengan sebaik-baik hiburan) serta diampuni akan si mati dari keluarga kamu”.

6. Cara Membalas Ucapan Takziah
Maka elok bagi keluarga yang diucapkan takziah membalas dengan ucapan:

Maksudnya: “Moga-moga Allah Ta‘ala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran”.

7. Menangisi dan meratapi Si mati.
Menangis kerana perasaan sedih yang tidak tertahan di atas kehilangan orang yang dikasihi, adalah diharuskan berdasarkan riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya
:“Kami masuk bersama Nabi SAW menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim dan menciumnya, sesudah itu kami masuk kepada Baginda dan (ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata Rasulullah mulai mencucurkan air mata”. Kemudian Abd Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau wahai Rasulullah!”, Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya air mata itu rahmat (kasih sayang), kemudian air mata (Baginda) terus bercucuran lagi, seraya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan hatipun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diridhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Walaupun menangis itu diharuskan tetapi menangis dengan meratap atau menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju dan lain-lain adalah haram. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa orang sedemikian diancam dengan siksaan yang berat, sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya
:“Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak-teriak seperti memanggilnya orang Jahiliyah”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya :
“Wanita yang menangis menjerit-jerit, apabila tidak bertaubat akan dibangkitkan di hari kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada percikan api neraka dan baju besi daripada kurap”.
(Hadis riwayat Muslim)

Menangisi mayat dengan meratapinya dan memanggil-manggil dengan ucapan: “wahai sandaranku! wahai kemuliaanku! wahai orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!” dan seumpamanya akan menjadi sebab mayat tersebut tersiksa. Perkara ini juga digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud :
“Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian ada orang yang menangisinya mengatakan: Waa jabalah! Waa sayyidah! (Duhai pujaanku ! Duhai kemuliaanku!) atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang ditugaskan kepada mayat itu, menusuk-nusuk badan mayat tersebut dengan mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang mulia?”
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Dan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya mayat itu disiksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
8. Memandikan Jenazah.
Paling bagus sekali lakukanlah sendiri oleh suami untuk jenazah isteri begitu juga sebaliknya, anak ( terutamanya lelaki ) untuk jenazah ibu bapa. Ini adalah untuk memelihara sebarang aib allahyarham daripada diketahui oleh orang lain. Begitu juga sekiranya kita kelak ada yang menjadi Bilal dikampung dan memandikan jenazah orang lain, hendaklah dirahsiakan sebarang aib yang kita lihat sekiranya ada pada simati. Sesungguhnya menutup aib orang lain itu adalah wajib.
Lakukanlah dengan lemah lembut kerana sesungguhnya jenazah itu boleh merasai sakitnya jika kita berkasar.
9. Solat jenazah.
Sesiapa yang masih belum tahu bagaimana solat jenazah, eloklah belajar dari orang yang tahu.
10.Memberi Wang Kerana Menyembahyangkan Jenazah
Kadang-kadang menguruskan mayat itu menggunakan perbelanjaan yang banyak kerana keluarga si mati akan memberi wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat. Berhubung dengan perbelanjaan ini jika orang yang memberi itu bukan ahli waris seperti kaum kerabat yang terdiri daripada zawilarham, anak menantu atau sahabat-sahabat si mati dan harta yang diberikan itu pula bukan daripada harta si mati, maka adalah harus diberikan kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur‘an dan tahlil dengan maksud pahalanya untuk si mati.
Jika yang memberi wang itu terdiri daripada ahli waris dan wang yang diberikan itu pula ialah harta atau wang pusaka (warisan), maka hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan. Sekiranya hal ini terjadi, perlu juga diingat bahawa hendaklah penggunaan wang atau harta pusaka itu tidak menjejaskan perkara-perkara wajib bagi si mati seperti menunaikan wasiat, zakat, hutang dan lain-lain.
Maka dalam hal ini sama ada pemberian berupa wang atau seumpamanya kepada orang yang menyembahyangkan, pembaca-pembaca Al-Qur‘an, atau kepada jemputan yang hadir yang turut mendoakan si mati, pemberian wang tersebut boleh sahaja diterima sebagai sedekah kerana si mati, bukannya upah sembahyang. Si penerima juga boleh membuat pilihan sama ada menerima sedekah tersebut atau menerimanya kemudian menyedekahkannya semula kepada keluarga si mati. Ini yang elok, kiranya keluarga si mati itu lebih memerlukannya atau sangat berhajat kepada wang berkenaan.
Di sini perlu diperjelaskan bahawa pemberian sedekah seperti wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur‘an, tahlil dan kepada jemputan yang hadir tidaklah termasuk perkara yang dituntut di dalam penyelenggaraan mayat dan ia bukanlah suatu perkara yang wajib atau sunat yang disyari‘atkan oleh agama.
Maka sewajarnya perbuatan pemberian sedekah seperti itu hendaklah mengambil kira tidak memberatkan atau membebankan kepada keluarga atau ahli waris si mati. Firman Allah Subahanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”.
(Surah Al-Baqarah: 286)

Hal ini juga sesuai dengan ajaran dan pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Kami berada di sisi Umar lalu beliau berkata: “Kami dilarang daripada sebarang perbuatan yang memberatkan”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Saat kedatangan ajal maut itu mustahak sentiasa dalam ingatan supaya setiap orang akan siap sedia dengan amalan yang membawanya ke syurga. Kenduri arwah atau seumpamanya selepas kematian seseorang itu hanyalah satu usaha daripada orang-orang yang hidup. Namun usahanya sendiri di samping rahmat Allah penentu kepada nasib sebenarnya.
10. Mengkebumikan Jenazah.
Banyak hadith Rasululllah yang meganjurkan supaya kita menyegerakan pengkebumian. Janganlah disimpan terlalu lama.
11. Talqin sewaktu pengkebumian
diriwayatkan oleh Imam At-Tobarony dalam Mu’jam Sighir dan Mu’jam Kabir daripada Abi Umamah Al-Bahily berkata :
"Apabila aku mati nanti, lakukan padaku sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah agar dilakukan kepada mayat, Rasulullah telah memerintah kita dengan sabda baginda: “ Apabila matinya seorang daripada kalanganmu, maka tanahlah dan berdirilah seorang dikalangan kamusemua pada bahagian kepala dikuburnya kemudian katakan Wahai si fulan anak si fulanah, orang itu mendengarnya tetapi dia tidak akan menjawab, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia duduk, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia berkata semoga Allah merahmati kamu tetapi kamu semua tidak merasai (apa yang telah berlaku pada si mayat), maka hendaklah dikatakan : Ingatlah apa yang telah menyebabkan kamu dilahirkan kedunia iaitu syahadah tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hambaNya dan rasulNya dan engkau telah meredhoi dengan allah sebagai tuhanmua dan islam itu agamamu dan Muhammad itu nabimu dan al-quran itu petunjukmu maka malaikat mungkar dan nakir akan mengambil tangannya lantas berkata Ayuh bersama kami bawakan kepada siapa yang telah ditalqinkan hujahnya”

Abu Umamah bertanya kepada Rasulullah Wahai Rasulullah!bagaimana sekiranya tidak diketahui nama ibunya? Rasulullah menjawab “Maka hendaklah dinasabkan kepada ibu manusia iaitu Hawwa dengan mengatakan Wahai si fulan anak Hawwa.” ( hadith riwayat Imam Al-Hafiz Tobarony Dalam kitabnya Mu'jam Soghir Wal Kabir).

Hadith yang mengharuskan talqin diatas telah disolehkan sanadnya (ulama hadith menyatakan hadith itu boleh digunakan) oleh Imam Muhaddith dari kalangan ulama hadith iaitu Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitab beliau berjudul At-Talkhis Al-Habir sepertimana yang juga dibawah Kitab Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 muksurat 243 :

وإسناده صالح وقد قواه الضياء في أحكامه

Yang bermaksud : “ Sanad hadith ini adalah boleh digunakan dan hadith ini telah dikuatkan oleh Imam Al-Hafiz Ad-Dhiya dalam kitab Ahkam”.

Maka hadith Nabi Muhammad ini jelas mengharuskan amalan talqin sepertimana jua para ulama salafussoleh berpegang dengan hukum mengenainya.

Mazhab Syafi’e Mengharuskan Dan Mengalakkan Amalan Talqin

1- Imam An-Nawawi As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Al-Majmuk pada jilid 5 mukasurat 303-304 :

“ Telah menyatakan oleh ramai para ulama dari mazhab Syafi’e bahawa disunatkan talqin pada mayat ketika mengebumikannya”.

Kenyataan mazhab Syafi’e dari kitab yang sama :
Imam Nawawi menyatakan : “ Telah ditanya kepada As-Syeikh Abu Amru Bin As-Solah mengenai talqin maka beliau menjawab Amalan talqin merupakan pilihan kita (mazhab Syafi’e) dan kami beramal dengannya”.

2- Imam Abu Qosim Ar-Rofi’e As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Fathul ‘Aziz Bi syarh Al-Wajiz tertera juga pada bawah kita Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 mukasurat 242 :

Yang bermaksud : Digalakkan dan disunatkan mentalqin mayat selepas mengebumikannya dan dibaca : Wahai hamba Allah bin hamba Allah…(bacaan talqin).

Dalil dari hadith :

Daripada Amru ibn al 'As berkata yang bererti :
"Apabila kalian telah mengkebumikan aku, maka timbuslah jenazahku dengan tanah sehingga rata, kemudian hendaklah kalian berdiri selepas itu, di sekeliling kuburku kira-kira selama masa menyembelih unta dan selama dibahagikan dagingnya sehingga aku tidak berasa kesepian bersama kalian dan sehingga aku mengetahui apa yang akan aku jawab kepada utusan-utusan Tuhanku."
Riwayat Muslim (1/112) hadith no 192

Daripada Uthman radiyaLlahu 'anhu berkata yang bererti :
"Adalah Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam apabila telah selesai mengebumikan mayat, Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam berdiri di atasnya dan bersabda, "Mintalah keampunan bagi saudara kalian ini dan mintalah baginya akan ketetapan (untuk menjawab soalan Munkar dan nakir), kerana dia sekarang ini sedang disoal."
Riwayat Abu Daud dan al Baihaqi.

Ibnu Qaiyim berkata :
Mentalqinkan mayat selepas dikebumikan merupakan amalan yang telah tersebar di Syam pada zaman Imam Ahmad ibn Hanbal radiyaLLahu 'anhu dan sebelumnya. Begitu juga di Qurtubah dan kawasan-kawasan sekitarnya pada sekitar tahun 500 Hijrah.
Kitab al Ruh (1/148) tahqiq Dr Bisam Ali.
11.Menjirus Kuburan

Dalil :

Imam kita asy-Syafi`i meriwayatkan daripada Ibraahiim bin Muhammad daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahandanya bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. telah menyiram (air) atas kubur anakanda baginda Ibrahim dan meletakkan atasnya batu-batu kerikil. Riwayat ini terkandung dalam "Musnad al-Imam al-Mu`adzhdzham wal Mujtahid al-Muqaddam Abi 'Abdillah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a.", juzuk 1, halaman 215.

Maka perbuatan baginda inilah yang dijadikan dalil oleh para ulama kita untuk menghukumkan sunnat menjirus atau menyiram air ke atas pusara si mati diiringi doa agar Allah mencucurikan rahmat dan kasih sayangNya kepada simati
Untuk manfaat bersama, amalan menjirus air ke kubur dipandang SUNAT dalam mazhab kita Syafi`i.

Tetapi yang disunnatkan hanya dengan air semata-mata dan bukannya air mawar sebagaimana kelaziman sesetengah masyarakat kita. Menjirus air dengan air mawar dihukumkan MAKRUH kerana ianya merupakan satu pembaziran. Dan mutakhir ini, timbul tradisi yang tidak sihat, di mana penziarah, terutama dari kalangan berada, membuang duit untuk membeli jambangan bunga untuk diletakkan di atas pusara, persis kelakuan dan perlakuan penganut agama lain. Kalau dahulu, orang hanya memetik bunga-bungaan yang ditanamnya sendiri di sekeliling rumah seperti daun pandan, bunga narjis dan sebagainya yang diperolehi dengan mudah dan tanpa sebarang kos. Ini tidaklah menjadi masalah kerana boleh dikiaskan perbuatan Junjungan yang meletakkan pelepah tamar atas kubur.

Tetapi menghias kubur dengan jambangan bunga yang dibeli dengan harga yang mahal, maka tidaklah digalakkan bahkan tidak lepas dari serendah-rendahnya dihukumkan makruh yakni dibenci Allah dan rasulNya dan diberi pahala pada meninggalkannya, seperti juga menjirus kubur dengan air mawar. Maka hendaklah dihentikan perbuatan menghias-hias kubur secara berlebihan, membazir dan membuangkan harta. Adalah lebih baik jika wang yang digunakan untuk tujuan tersebut disedekahkan kepada faqir dan miskin atas nama si mati, dan ketahuilah bahawa sampainya pahala sedekah harta kepada si mati telah disepakati oleh sekalian ulama tanpa ada khilaf.
12.Membina Binaan diatas kubur.
Rasulullah SAW melarang membina sebarang binaan di atas kubur seperti kebiasaan yang berlaku dimana-mana. Ada kubur yang diberi binaan batu konkrit, batu mar-mar dan lain-lainnya yang mahal-mahal harganya, membina rumah, kubah, menara, memasang lampu-lampu, hiasan-hiasan yang indah-indah, terutamanya kubur-kubur dari kalangan yang berada dan kubur-kubur yang dikatakan kubur keramat atau wali.

Jabir r.a meriwayatkan :
Ertinya : “ Rasulullah SAW melarang mengecat kubur dengan kapur, duduk diatas kubur dan membina binaan diatasnya.” HR Ahmad, Muslim, An-Nasai, Abu Daud dan At-Tirmizi.

Menurut riwayat At Tirmizi:
Ertinya: Bahawasanya Rasulullah SAW melarang mengkapuri kubur, menulis ( dan sebagainya ) di atas kubur, membina binaan diatasnya dan menginjak-injaknya.

Dan menurut riwayat an Nasai pula ialah:
Ertinya: “ Bahawasanya Rasulullah SAW melarang membina binaan di atas kubur, atau meninggikannya atau mengkapurinya atau menulis diatasnya.”

Menurut sunnah kubur hendaklah diratakan dengan bumi atau ditinggikan tanahnya sekadar sejengkal supaya diketahui orang itu adalah kubur dan supaya tidak diinjak-injak atau diduduki orang yang dibubuh tanda ( nisab dan sebagainya ).

Sewaktu Rasulullah SAW sedang memburu keberhalaan di semenanjung tanah Arab, baginda berwasiat kepada tentera Islam, antaranya ialah:

“ Dan janganlah kamu membiarkan sebuah patungpun melainkan kamu menghancurkannya, dan janganlah kamu membiarkan sebuah kubur melainkan hendaklah kamu meratakannya dengan tanah.”